KUALA LUMPUR, 10 Nov. ― Uniqlo, sebuah syarikat fesyen dari Jepun bakal membuka kedai tepi jalan pertama di Malaysia pada Disember 2020. Berikutan kes wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara ini, Uniqlo yakin dengan strategi pemasaran ini bagi memuaskan keperluan pelanggan mereka di Malaysia.
Pihak Uniqlo juga telah mengumumkan bahawa tiada penambahan kedai mereka di dalam pusat membeli-belah buat masa ini. Oleh itu, pihak Uniqlo telah mengambil keputusan untuk membuka kedai baru yang berpusat di pinggir jalan di Bandar Sri Damansara yang dikelilingi oleh kawasan perumahan, sekolah dan bangunan pejabat.
Kedai ini merangkumi ruang membeli-belah yang dirancang untuk menampung beberapa keperluan penduduk sekitar Bandar Sri Damansara. Ketua Pegawai Eksekutif Uniqlo Malaysia dan Singapura Yuki Yamada dalam satu kenyataan mengatakan bahawa penambahan baru itu bertepatan dengan ulang tahun ke-10 mereka di Malaysia bulan ini.
“Selama bertahun-tahun, kami telah bertapak melalui kedai dalam talian dan 51 kedai fizikal di pusat membeli-belah yang terletak di bandar-bandar utama di 12 negeri,” katanya. Yamada menambah bahawa kedai di pinggir jalan tersebut menandakan perkembangan berterusan mereka dalam pasaran ini dan berharap dapat melengkapkan rangkaian kedai berasaskan pusat membeli-belah mereka yang sedia ada.
“Kedai baru kami dirancang dengan teliti untuk memastikan ruang dan akses yang cukup bagi semua pihak, termasuk keluarga dengan anak-anak, orang tua dan orang kurang upaya, serta ruang tempat letak kenderaan eksklusif untuk pelanggan kami.”
“Pada dasarnya, kedai pinggir jalan ini akan berfungsi sebagai sebuah kedai yang berdekatan dengan rumah bagi pelanggan di Bandar Sri Damansara dan kawasan sekitarnya agar mereka dapat menikmati perjalanan singkat ke cawangan terbaru kami ini” tambah Yamada.
Kedai tepi jalan pertama Uniqlo di Jepun dibuka pada tahun 1985. Malaysia bakal menjadi negara kelima di luar Jepun dan ketiga di Asia Tenggara yang memiliki kedai berkonsep tepi jalan selepas ianya dilancar dengan jayanya di Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Filipina.
Untuk maklumat lebih lanjut, klik di sini.