Seorang lelaki dari China dipaksa masuk ke dalam “kandang babi” dan dicampakkan ke dalam sungai berulang kali akibat berlaku curang dengan wanita lain.
Menurut World of Buzz insiden itu berlaku di Distrik Dianbai di Provinsi Guangdong. Sebuah video yang tersebar pada Jumaat lalu, di mana seorang lelaki yang hanya berpakaian seluar dalam terlihat duduk di dalam sangkar dengan darah berlumuran di bahagian hidung dan mulut.
Sekurang-kurangnya tiga lelaki lain terlibat dalam insiden itu telah merakam aksi tersebut sambil menyoal siasat dan memarahi mangsa. Lelaki itu kemudian diikat dengan tali sebelum dipaksa untuk masuk ke dalam sangkar yang diperbuat dari buluh.

Polis dari daerah Maoming telah mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan telah dibuka. Mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan parah di mana ketiga-tiga lelaki tersebut telah pun menyerah diri. Pihak polis juga menambah bahawa kejadian itu dipercayai disebabkan oleh pertikaian emosi.
Walaupun hukuman ini tidak pernah dilaksanakan oleh undang-undang di China, ianya masih dipraktikkan oleh mereka dari golongan sosio ekonomi yang lebih rendah.
Biasanya, yang tertuduh akan dibawa ke pusat komuniti kampung di mana pemimpin mereka akan mendengar keterangan tertuduh dan saksi sebelum membuat keputusan lanjut. Tertuduh juga akan dipaksa untuk mengenal pasti pasangannya, yang akan dibawa ke hadapan untuk menerima hukuman.
Kemudian, tertuduh akan diikat dengan tali bagi menghadkan pergerakan sebelum dimasukkan ke dalam sangkar buluh, juga dipanggil sebagai “kandang babi” di mana mereka menggunakan sangkar tersebut untuk mengalihkan khinzir. Sangkar tersebut akan dicampakkan ke dalam sungai sehingga mangsa lemas, sebelum dia diangkat dan dikebumikan.