‘TIADA SIDANG PARLIMEN ISNIN INI, SURAT DR M TAK IKUT PERATURAN’
Ariff berkata, surat PM interim tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tak disusuli pemberitahuan usul lengkap.
KUALA LUMPUR, 28 FEBUARI 2020, Dewan Rakyat tidak akan mengadakan persidangan khas Isnin depan, seperti diumumkan Perdana Menteri Sementara Dr Mahathir Mohamad semalam.
Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata surat pemakluman memanggil mesyuarat khas Dewan Rakyat yang ditandatangani perdana menteri interim tidak mengikut peraturan.
Katanya, ia tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.
“Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, Ariff berkata keperluan mengadakan mesyuarat khas akan dibuat selepas titah Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan perdana menteri.
“Oleh yang demikian, saya memutuskan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat pada Isnin, 2 Mac 2020.
“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.
Sumber : MalaysiaKini