KUALA LUMPUR: Nikon Malaysia bakal menghentikan operasi bermula 1 Januari 2021. Pengumuman mengejut itu dibuat melalui laman web rasmi dan media sosial mereka pada 4 November lalu.

“Kami berterima kasih di atas sokongan dan kesetiaan tak terhingga anda selama beberapa tahun bersama Nikon, ianya merupakan satu kebanggaan untuk memberi perkhidmatan dalam bidang pengimejan dan industri metrologi di Malaysia,”
Bermula pada 1 Januari 2021, QES (Asia Pacific) Sdn Bhd bakal mengambil alih perniagaan industri ini. Buat masa ini, Nikon akan beroperasi seperti biasa sehingga tempoh peralihan itu berakhir pada 31 Disember 2020.
Pengarah Urusan QES, Chew Ne Weng, berkata Nikon dan QES telah menjadi rakan kongsi utama sejak 2009 dan peralihan itu bakal memperkukuhkan lagi jualan dan sokongan perkhidmatan selepas jualannya.