Penutupan Jalan Bangsar pagi ini dipercayai berkait rapat dengan sebuah kes jenayah berikutan penemuan mayat yang terbaring di tengah jalan raya.
Polis menerima laporan daripada orang awam seawal jam 5.38 pagi di mana mangsa ditemui dengan kesan tetakan pada badan serta dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut laporan Berita Harian, lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi, mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk bedah siasat oleh pihak forensik dan kes diklasifikasikan sebagai bunuh.
Orang awam dinasihatkan untuk menghubungi pihak polis di talian 03-22979222 sekiranya terdapat maklumat lanjut bagi membantu siasatan.
Menerusi catatan Twitter oleh ITIS_TRAFIK pagi ini, penutupan jalan dimaklumkan pada jam 7.20 pagi bagi memudahkan aliran trafik.

Laluan berkenaan kemudian dibuka semula pada jam 8.25 pagi sebaik siasatan polis di lokasi selesai.