GEMPAR – Buaya Tembaga ditemui di Tasik Shah Alam

SUASANA di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 gempar apabila seekor anak buaya tembaga ditemui di pam air tasik itu hari ini. Reptilia sepanjang 0.6 meter itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan 9.30 pagi sebelum menghubungi bomba. Operasi menangkap buaya itu bagaimanapun masih dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor, menurut hmetro.

Pengarah Perhilitan negeri, Abd. Rahim Othman berkata, ini berikutan tasik tersebut bukan habitat haiwan terbabit dan sebelum ini tiada kes dilaporkan berkaitan reptilia terbabit. “Agak sukar anak buaya jenis tembaga hampir satu meter ini memasuki tasik ini secara semulajadi iaitu melalui sungai kerana tasik ini berjauhan dengan sungai-sungai utama.

“Saya yakin ada individu tidak bertanggungjawab melepaskan reptilia ini ke tasik ini. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan setakat ini anak buaya tersebut masih belum berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. Abd. Rahim berkata, pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan di tasik berkenaan agar anak buaya itu dapat ditangkap dalam masa terdekat.

“Setakat ini, anggota kita sedang melakukan pemantauan di tasik berkenaan dan jika ada keperluan untuk memasang perangkap atau jaring akan kita lakukan,” menurut Abd. Rahim.

Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika beriadah di tasik berkenaan meskipun anak buaya itu tidak mendatangkan ancaman kepada pengunjung.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Ahmad Subhaan Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan anak buaya itu kira-kira pukul 9.35 pagi sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tasik itu, anggota membuat pemantuan dan memang terdapat seekor anak buaya berada di tengah tasik berdekatan sebuah pam air.

“Bagaimanapun, kita menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Participant

Written by eppylio

Story MakerStory MakerYears Of Membership